Wajarkah pembantu rumah warga asing diberi cuti?
Tertarik dengan artikel dari akhbar malaysia (tak ingat tarikh) berkaitan pembantu rumah warga asing perlu diberi cuti. Berkaitan dengan isu ini banyak pihak dan rakan-rakan yang menggunakan khidmat pembantu rumah asing tidak bersetuju dengan pemberian cuti kepada pembantu rumah warga asing. Walaupun tiada cuti pada hakikatnya mereka tetap mempunyai waktu untuk berehat dan tidur yang cukup jika majikan adalah orang yang bertanggungjawab dan mempunyai akal fikiran yang waras serta faham apa itu erti pembantu rumah.
Hanya orang yang tidak faham erti pembantu rumah sahaja akan menyalah guna pembantu rumah seperti haiwan. Berikutan dengan kes penderaan yang didedahkan dimuka akhbar, ini tidaklah menunjukkan ramai majikan yang bersifat seperti itu. Masih ramai majikan yang mempunyai akal fikiran dan faham apa itu erti pembantu. Selain dari itu juga kes-kes pembantu rumah yang lari, ianya ramai cuma tidak didedahkan sahaja jika didedahkan pun tidak akan dapat menggembalikan semula wang serta masalah penjagaan anak-anak ketika ketiadaan pembantu majikan juga yang terpaksa menanggungnya.
Pernah berlaku seorang majikan yang sangat prihatin dengan pembantu rumah maklumlah tiada pengalaman dengan pembantu rumah warga asing. Majikan ini menetapkan hari ahad hari cuti dan hari biasa waktu bekerja sehingga 5 petang sahaja. Bagus dia buat begitu kerana niatnya baik tetapi pembantu rumah adalah manusia juga, dengan masa terluang ia akan mencari rakan-rakan senegaranya dan dari situ bermulalah episod naik tocang dan tidak lama lost in action.
Pada umumnya kerja pembantu rumah adalah menguruskan rumah untuk mengganti kerja isteri yang bekerja. Pekerjaan itu memang tiada cuti, kalau tidak percaya tanyalah pada isteri yang menjadi surirumah sepenuh masa, mana ada cuti. Lepas ni mungkin surirumah pula akan minta cuti.
Harga insurans kenderaan lama naik?
Harga insurans kenderaan lama naik, tapi tetap kena beli. Kepada pemilik kenderaan lama yang telah berusia akan mengalami kesukaran untuk membeli insurans terutama jika menukar insurans lain. Perkara ini berlaku apabila bapa mertua mengarahkan membeli insurans takaful malaysia untuk renew roadtax proton saga orion, harga terkini untuk renew insuran takaful malaysia untuk kereta proton saga orion ni rm180 untuk third party, tetapi disebabkan di kawasan saya tidak ada insurans takaful malaysia terpaksalah memilih insurans lain.
Tetapi tidaklah semudah dahulu, kerana insurans kurnia menolak tidak mahu menjual, begitu juga insurans uniasia dan takaful ikhlas pun tidak mahu menjual akhirnya yang berjaya adalah insurans berjaya dengan harga jualan insurans sebanyak rm240.80, mungkinkah ini teknik untuk menggalakkan pelupusan kereta lama, tetapi tidak berbaloi menjual kereta lama dengan dengan harga rm5000 untuk membeli kereta baru dan terpaksa menanggung hutang berpuluh ribu. Bukan masalah hutang baru jika mampu tetapi adalah rugi menjual kereta lama yang masih utuh dan baik.
Kereta lama walaupun berusia emas tetapi tidak banyak karenah seperti KE30, walau tua tapi lasak dan jimat serta boleh drift cuma mungkin sukar untuk mendapatkan teman wanita jika masih bujang dengan kereta toyota KE30 ni, ,maklumlah kereta lama nampak sangat macam tiada wang dan tidak mengikut perubahan zaman, betul ke?
Proton exora malaysia mpv
Lalu di hadapan pusat jualan kereta proton sempat juga menjeling pada proton exora, nak turun tengok belum sempat lagi, lagi pun sekadar nak tengok saja bukan nak beli lain kali singgah. Dengar cerita kereta ni menarik dan terbaik berbanding dengan kereta yang seangkatan dengannya walaupun saiz besar dengan kapasiti engine 1.6liter tetapi ia dirasakan dapat memecut dengan pantas kerana teknologi engine campro dan lightweight body. Rakyat malaysia yang teringin nak membeli mpv tetapi rasa tidak mampu, mungkin inilah kenderaan yang sesuai untuk dijadikan pilihan. Kalau ada kereta lama proton yang dah lusuh dimakan usia di rumah boleh juga dijadikan modal untuk mendapatkan kenderaan mpv proton exora ni. Mungkinkah masalah cermin tingkap pada proton exora ini tidak berulang seperti yang berlaku pada model proton yang lain
Bagaimana pun kena tunggu reaksi komen dari pembeli proton exora ni tentang apakah kelebihan dan kekurangannya, selagi belum ada pengguna sukar untuk menilai, apa pun dari segi pandangan mata dan spesifikasi ia adalah kenderaan yang terbaik berbanding dengan jenama lain yang seangkatan dengannya. Apple to apple.
Melayan traktor kubota di kebun jagung
Hari ini kita tengok video sekejap, aksi-aksi panas di tengah panas melayan traktor kubota di kebun jagung. Kalau bawak traktor dalam kebun atau ladang tak payah ada lesen memandu kerana polis dan jpj tiada, kalau nak accident pun cuma terlanggar ular, tikus atau cacing saja. Bawak traktor senang saja jika permukaan bumi rata, tetapi untuk kawasan yang berbukit adalah sukar hanya traktor kecil sahaja yang sesuai serta perlu pilot yang professional, bukan apa kawasan bukit ni memang cukup mudah nak buat aksi-aksi lasak.
Tayar hadapan traktor cukup mudah nak terangkat, boleh buat macam aksi mat rempit.
Najib nekad ambil wang vss
Bulan April 2009 bermulalah detik hari tanpa bekerja makan gaji bagi najib iaitu rakan saya kerana beliau telah nekad untuk berhenti bekerja dari sektor industri, beliau memilih untuk mengambil wang vss bagi memulakan sesuatu yang baru dalam hidupnya.
Namun begitu fikirannya masih kosong tidak tahu apakah yang sesuai untuk dilakukan selepas berhenti bekerja. Dengan masa percuma yang ada sekarang beliau mula merayau-rayau untuk mencari informasi apakah yang sesuai untuk dijadikan sumber pendapatan baru, najib bukanlah tidak berpelajaran beliau adalah seorang yang berpendidikan dari universiti tempatan, tetapi ingin beralih arah kepada bidang yang tidak berkaitan dengan kejuruteraan. Tumpuannya kini samada untuk meneroka bidang perniagaan atau pertanian.
Baru-baru ini najib berkesempatan berjumpa saya di kebun jagung, maklumlah rakan lama sewaktu di sektor industri dahulu, waktu bekerja memang susah nak jumpa, tetapi apabila sudah berhenti bekerja makan gaji barulah ada masa nak jumpa. Dengan kesempatan tersebut najib menyuarakan hasrat hatinya untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian, tetpi saya tidak begitu menyokong sebaliknya menyuruh beliau membuat analisa terlebih dahulu, berkaitan dengan kos-kos yang terlibat, pulangan semula wang modal, pemasaran,keuntungan dan kehidupan sebagai peladang.
Saya menyarankan agar mengambil sedikit masa sebelum memulakan sesuatu projek untuk mengelakkan kerugian dan saya tidak mahu wang dari skim vss beku, biar lambat tidak mengapa kerana pertanian menggunakan wang yang banyak sekiranya bermula dari kosong kecuali sudah ada kemudahan infrastruktur. Begitu juga antara persoalan yang saya kemukakan adakah beliau betul-betul berminat? minat kerana mendengar cerita-cerita indah tentang untung perniagaan pertanian adalah tidak sesuai dijadikan alasan untuk terlibat dalam pertanian. Pertanian bukan kerja mudah ia perlu titik peluh dan wang, serta pulangan keuntungan yang lambat serta penuh dengan risiko.
Bercerita tentang kesusahan bukan bermaksud untuk mematahkan semangat, tetapi untuk menjadikan beliau lebih bersedia dan berhati-hati dan kuat. Selain dari itu cara kehidupan juga perlu diubah kerana tiada jaminan wang setiap hujung bulan.
Motorsikal pilihan rxz, ex5, modenas?
Motorsikal dan kereta merupakan kenderaan yang pasti ada di setiap rumah kediamaan samada satu atau dua dan mungkin lebih. Kalau orang muda motorsikal pilihan mungkin yamaha rxz, 125 yang jenis dua stroke kerana lebih laju dan nampak gah sikit jika orang dah berkahwin mungkin ex5, modenas kriss iaitu jenis empat stroke yang mempunyai kemudahan untuk membawa barang dan lebih utama ia lebih jimat penggunaan minyak. Dengan menggunakan motorsikal sebagai alternative pengangkutan kos belian minyak harian boleh dikurangkan walaupun harga minyak rendah berbanding dahulu.
Selain lebih jimat penggunaan motorsikal juga lebih cekap dan memendekkan masa perjalanan terutama di bandar besar seperti kuala lumpur, maklumlah kalau waktu pagi dan petang semua orang berpusu-pusu memenuhi jalan raya. Namun sebagai penunggang motorsikal pastikan cara pemanduan adalah berkhemah dan selamat kerana risiko untuk menghadapi kemalangan adalah lebih tinggi berbanding memandu kereta. Sekiranya anda sedang tercari-cari motorsikal terpakai dan mahu membeli secara terus cuba layari mudah.my mungkin ada motorsikal pilihan anda di sana
Wang VSS buat projek pertanian
Pertanian adalah satu cabang perniagaan, dan memang menguntungkan.Ramai usahawan-usahawan pertanian telah berjaya dan memperolehi pendapatan yang lumayan dengan hasil pertanian yang dilaksanakan. Sekiranya anda teruja dengan kejayaan para usahawan pertanian yang telah berjaya, mungkin ada terdetik dihati ingin mencuba terutama sekali dalam keadaan ekonomi yang sedang merudum.
Tambahan pula dengan sektor industri yang mula membuang pekerja, jika dapat wang VSS boleh juga digunakan untuk kegiatan pertanian. Tetapi sebelum gelap mata untuk membelanjakan wang skim VSS untuk menjalankan projek pertanian, adalah sebaiknya berfikir , belajar dan buat kaji selidik dahulu sebelum terjun supaya tidak jadi seperti si luncai terjun bersama labu-labunya.
Bukan sahaja perlu buat kaji selidik tentang tanaman pertanian tetapi tentang pengurusan wang, cash flow juga amat penting kerana tanpa pengurusan wang yang betul wang yang banyak boleh habis begitu saja umpama menanam wang. Ini kerana pertanian bukanlah kerja yang mudah ia memerlukan pengorbanan wang, tenaga dan masa. Tetapi jika sekadar buat pertanian di belakang rumah itu tidak menjadi soal samada untung atau rugi.
Sebelum memulakan pastikan dahulu dalam diri ada minat yang mendalam, jika sekadar untuk mencuba nasib elok dibelanjakan wang ke tempat lain yang boleh memberi manfaat. Kecuali anda mencuba mencari pendapatan melalui internet, ia boleh dicuba bila-bila masa sahaja kerana risiko rendah tanpa menunggu wang skim VSS anda boleh memulakannya. Tulisan ini bukan untuk mematahkan semangat untuk menjadi usahawan tani tetapi jadikan ia sebagai panduan untuk menjadi lebih berhati-hati serta cari sebanyak mungkin ilmu yang berkaitan untuk memastikan usaha yang bakal dilaksanakan tidak menjadi sia-sia.













